MIRI: Seorang wanita yang cuba membunuh diri berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Miri (APM) dalam kejadian di di pantai Luak Esplanade di sini, semalam.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid, anggota APM di Menara Penyelamat Pantai menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang wanita tiba-tiba melompat ke laut pada jam 3.50 petang.

“Sebaik menerima maklumat kejadian itu, empat anggota APM segera bergegas ke lokasi tersebut.

“Wanita itu pada mulanya tidak mahu naik ke darat, namun dia menyerah diri setelah dipujuk hampir 30 minit,” katanya.

Siasatan awal mendapati wanita itu berada dalam pengaruh alkohol.

Dia kemudiannya dibawa ke hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut saksi kejadian, dia melihat wanita itu duduk dengan minuman keras seorang diri dalam keadaan yang mencurigakan.

Tingkah lakunya yang duduk bersendirian dan minum minuman keras telah menimbulkan rasa tidak selesa menyebabkan saksi memaklumkan hal tersebut kepada anggota APM di kawasan berdekatan.

Seorang anggota APM berjaya mencuba memujuk wanita itu daripada membunuh diri.

 

Wanita (tengah) tersebut dibawa anggota APM ke Menara Penyelamat Pantai selepas mereka berjaya memujuknya untuk naik ke darat.