KUCHING: Akhbar berbahasa Inggeris tertua di negeri ini melakar sejarah baharu hari ini apabila membuat kemunculan sulung dalam bentuk tabloid.

Editor Eksekutif New Sarawak Tribune Rajah Murugiah berkata, akhbar itu bakal fokus rencana masyarakat, berita masyarakat, isu semasa, politik, sukan, hiburan dan laporan khas selari dengan cita rasa pembaca.

Tambah Rajah, NST ingin lebih fokus kepada keperluan dan kehendak masyarakat masa kini bagi memenuhi paparan lebih menarik dan dekat dengan pembaca

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di Pejabat New Sarawak Tribune di Mertrocity di sini semalam.

NST ialah akhbar kumpulan Suara Sarawak dan portal Sarawak Voice yang turut dibarisi editor dan kumpulan wartawan berpengalaman.

Akhbar ini kali pertama beredar di pasaran pada 1945 dan menjadi antara surat khabar berbahasa Inggeris utama di Sarawak, pernah ditutup operasi pada 2006 sebelum muncul dengan nama The Eastern Times dalam bentuk tabloid.

“The Eastern Times telah menukar surat khabar tabloid kepada berbentuk lebar kerana ketika itu orang ramai tidak meminati surat khabar tabloid sebelum dinamakan semula The New Sarawak Tribune,” kata Rajah.

Rajah berharap NST akan menjadi akhbar yang menjadi suara kepada rakyat pelbagai kaum pada era digital.

Rajah dan kakitangan bersama keluaran akhir NST bersaiz besar sebelum kemunculan sulung tabloid.