BINTULU: Amalan rumah terbuka berperanan penting dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di negara ini khususnya Bumi Kenyalang.

Dengan menghadirkan diri di rumah terbuka sesuatu kaum itu, dapat melihat dan menyaksikan budaya masyarakat lain, demikian kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing.

Jelasnya, budaya rumah terbuka akan mendidik sikap hormat-menghormati terhadap amalan kaum lain.

Amalan rumah terbuka adalah keunikan yang hanya terdapat di Malaysia dan tidak ada di negara lain, ujarnya.

“Tradisi ini perlu diteruskan dan menjadi contoh generasi baharu bahawa negara ini mempunyai cara tersendiri untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum,” katanya pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru Kolej Vokasional Bintulu, di sini.

Beliau berharap amalan sedemikian akan terus kekal di tengah modenisasi dan globalisasi yang ada kalanya dapat menghakis jati diri dan sifat kemasyarakatan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Khas di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu itu, Steven Kong Kai Seng.

Pada majlis tersebut, Steven turut menyampaikan cek berjumlah RM20,000 kepada pengarah Kolej Vokasional Bintulu, Jamali Muhamad bagi menyelenggarakan bangunan serta untuk aktiviti kolej terbabit.

Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Fred Anak Entau hadir sama.