KUCHING: Kawasan antara Bahagian Serian dan Kuching akan diberikan tumpuan untuk dibangunkan dengan pertanian komersial dan pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia memandangkan sepanjang kawasan pinggir Kuching ini sudah dilengkapi infrastruktur.

“Kelebihan kawasan pinggir Kuching ini adalah ia mempunyai infrastruktur, jadi semua prasyarat asas sudah ada,” katanya ketika ditemu-bual semasa mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak anjuran pemimpin-pemimpin Dayak dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (DBNA), di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Kapit yang juga Setiausaha Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi termasuk Menteri Kerja Raya yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baru Bian.

Abang Johari berkata pembangunan luar Kuching itu juga berbeza dengan Kota Samarahan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) yang merangkumi sehingga ke Sebuyau.

“Pembangunan pinggir Kuching adalah hanya melibatkan antara Serian dan Kuching.

“Kerana Serian sudah menjadi Bahagian, jadi Serian mempunyai pelan induk pembangunan sendiri tetapi itu akan dihubungkan dengan Kuching.

“Sebab itu kita mahu membuat jalan lingkaran luar, dari Jalan Samarahan sehingga ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan pergi ke kawasan pinggir Kuching,” katanya.