BALAI RINGIN: Pokok belian yang terkenal paling berkualiti di Sarawak kini dikenali sebagai. ‘pokok warisan’, isytihar Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

“Pokok yang nama saintifiknya ‘Eusideroxylon zwageri’ akan menjadi pokok eksotik yang tidak dibenarkan untuk eksport,”katanya ketika menyempurnakan Pelancaran Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak di Pusat Agrohutan Sabal di sini, semalam.

Selain Sarawak dan Sabah, habitat pokok ini hanya terdapat di Brunei, Flores, Jawa, Kalimantan dan Sumatera.

Ia hanya tumbuh di kawasan rendah dan hutan sekunder, sehingga ketinggian altitud 625 meter.

Abang Johari menambah, beliau yakin

Sarawak mampu menjadi pengeluar terbesar pokok tropika di rantau ini, dengan keluasan hutan yang ada.

“Ketika ini Sarawak memperuntukkan enam juta hektar tanah sebagai hutan simpan kekal manakala sejuta hektar lagi adalah kawasan terlindung sepenuhnya.

“Ekoran itu, kita mengamalkan konsep penanaman semula hutan dengan spesies pokok yang cepat membesar seperti ramin, engkabang dan buluh.

“Malah, bagi tujuan itu, kita menubuhkan Majlis Penyelidikan Sarawak yang melibatkan penduduk setempat dalam usaha membantu mereka menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Dengan kekayaan sumber yang ada, Abang Johari berkata, tidak mustahil untuk Sarawak mengeksport oksigen menggunakan kaedah pembotolan pada masa akan datang.

“Apabila kita mempunyai banyak pokok, secara tidak langsung, bekalan oksigen Sarawak bertambah.

“Dengan teknologi yang ada, oksigen boleh dibotolkan dan boleh dieksport ke negara China,”ujarnya lagi.

Kepada pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) pula, beliau menasihatkan agar ia digunakan sebaik mungkin dengan tanaman pokok kelapa sawit dan pokok lain.

“Sambil menanam kelapa sawit, pemilik tanah boleh menanam pokok sampingan seperti kempayan yang sedia dituai enam tahun kemudian.

“Jika harga minyak kelapa sawit rendah di pasaran dunia, pengusaha tersebut akan mempunyai punca pendapatan sampingan daripada penanaman pokok terbabit,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Menteri menyaksi- kan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman melibatkan Jabatan Hutan Sarawak dengan pelbagai pihak seperti SHELL Berhad, Sarawak Energy Berhad dan Japan-Malaysia Association sebagai usaha meningkatkan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar di Sarawak.