SIBU: Dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Sibu Jaya ditahan polis berikutan video tular di laman sosial membabitkan pergaduhan antara pelajar sekolah menengah itu.

Perkara ini disahkan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit menerusi satu kenyataannya di sini semalam dan punca pergaduhan kerana tidak puas hati.

“Sekitar 12.30 tengah hari Sabtu lepas salah seorang guru memaklumkan kepada pengetua sekolah bahawa terdapat satu rakaman video pergaduhan menjadi tular di lalam sosial.

“Ia memaparkan rakaman pergaduhan pelajar di luar sekolah berdurasi selama 25 saat,” katanya lagi.

Stanley berkata, video itu mendapat pelbagai komen dan reaksi pelbagai pihak dan mendapat lebih kurang 34,000 tontonan serta 1,200 perkongsian.

“Sejurus melihat video tersebut, pengetua sekolah berusia 52 tahun tampil membuat laporan untuk siasatan polis,” ujarnya lagi.

Siasatan awal pihaknya jelas Stanley, kejadian berlaku di tempat letak kereta Taman Villa Sibu Jaya dan berlaku selepas sesi persekolahan sebelah petang pada 14 Mei lalu jam 6.30 petang.

Beliau percaya video pergaduhan itu dirakamkan pelajar kemudiannya dikongsi bersama sehingga ia ditularkan di laman sosial.

“Kedua-dua pelajar terbabit berusia 13 tahun telah kita kesan dan dipanggil ke Balai Polis Sentral di sini.

“Hasil soal siasat kita mendedahkan salah seorang pernah memukul kepala seorang lagi pelajar pada 12 Mei, lebih kurang jam 11 pagi semasa berada di sekolah.

“Mangsa dikatakan pernah memukul kepala dan menggelarkan suspek sebagai anak luar nikah,” katanya.

Suspek] tidak puas hati dengan tindakan tersebut telah mengajak mangsa bergaduh di luar sekolah pada sebelah petang hari sama,” katanya lagi.

Tambah Stanley, pasukan siasatan kemudian telah mencari video yang dimuat naik oleh seorang penama dalam Facebook akan ia telah dipadam.

Pemilik akaun Facebook tersebut, ujarnya, telah berjaya dikesan dan telah dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan.

“Pemilik akaun tersebut mengatakan bahawa video tersebut dimuat naik ke laman sosial bertujuan mencari ibu bapa kedua-dua pelajar terlibat.

“Dia juga mengakui bahawa memperoleh video tersebut daripada salah satu kumpulan WhatsApp, bukan daripada individu merakam video tersebut. Individu sebenar yang membuat rakaman video tersebut belum diketahui setakat ini,” ujarnya.

Jelas Stanley, ibu bapa kedua pelajar tersebut dipanggil ke balai dan berjumpa pihak sekolah serta berbincang mengenai penyelesaian terbaik.

“Kedua-dua pelajar ditahan dan akan menjalani ujian air kencing pihak narkotik,” jelasnya sambil menambah kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.