BINTANGOR: Pasukan al-Muttaqin Sarikei muncul bergaya selepas berjaya mengenepikan cabaran pasukan lain untuk bergelar juara kejohanan Futsal Gawai Raya 2019, yang melabuhkan tirainya di sini, petang semalam.

Kejohanan yang berjaya menarik penyertaan sebanyak 17 pasukan itu dianjurkan Kelab Futsal Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Meradong.

Al Muttaqin membawa pulang wang tunai RM800 manakala naib juara disandang menjadi milik Kelab Futsal Darulhana yang menduduki tempat kedua.

Tempat ketiga disandang Godam FC Pusa dan Petra FC (Sibu) yang memenangi medal dan wang tunai RM250.

Sementara itu, majlis perasmian pertandingan dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.

Pengerusi Saberkas Meradong, Qalam Iko berkata, pertandingan pertama anjuran Kelab Futsal Saberkas itu bertujuan memeriahkan sambutan gawai raya selain memupuk perpaduan dalam kalangan belia melalui sukan.

Menurutnya, kejohanan itu bukan sahaja berjaya menarik penyertaan pasukan Meradong tetapi juga Sarikei, Sibu dan Betong.

Pasukan mengabadikan kenangan beramai-ramai

Selain memeriahkan lagi sambutan Gawai Raya katanya, kejohanan mengintai bakat muda yang boleh diketengahkan sebagai pemain profesional khususnya dalam arena bola sepak.

“Kejohanan ini juga menjadi medan pemilihan pemain yang berpotensi untuk mewakil Daerah Meradong ke kejohanan Futsal piala Sarawak yang di jadual berlangsung di Betong penghujung Julai ini.

“Tahniah kepada Al Muttaqin yang muncul juara untuk kali ke dua berturut-turut, Kelab Futsal Darulhana (naib juara), tempat ketiga Godam FC, Petra FC dan semua pasukan yang menunjukkan semangat kesukanan yang begitu tinggi.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Meradong yang sanggup meluangkan masa hampir dua jam menyaksikan perlawan separuh akhir dan perlawanan akhir sekali gus merasmikan kejohanan. Penghargaan juga untuk Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol yang turut menyokong dari segi kewangan membantu kami menganjurkan kejohanan ini,”katanya.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Futsal Saberkas Meradong, Awang Jamali Awang Jawi.