KUCHING: Barang kemas dan wang tunai yang disimpan dalam dua beg dianggarkan lebih kurang RM15,000 milik seorang wanita warga emas lesap selepas disamun sekumpulan lelaki.

Kejadian dilaporkan berlaku Sabtu lepas sekitar jam 5 petang, apabila rumah mangsa yang terletak di Jalan Chong Kiun Kong di sini dipecah masuk dua lelaki bertopeng manakala seorang rakan mereka menunggu di dalam kereta.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, semua suspek dipercayai warga tempatan menyamun wanita warga emas itu ketika dia bersama suami di rumah.

Bagaimanapun, katanya semasa kejadian, suami mangsa sedang tidur di bilik sebelah ruang tamu tanpa menyedari sesuatu manakala mangsa berada di ruang tamu.

Awang berkata mangsa telah diarah berdiam diri oleh seorang suspek dengan mengacukan parang ke arahnya dan seorang lagi suspek naik ke atas rumah dan mengambil barang milik wanita berkenaan yang disimpan di dalam biliknya yang terbuka dan tidak berkunci.

Beliau berkata kejadian disedari apabila anak lelaki mangsa berusia 59 tahun sampai di rumah
dan mendapati sebuah kereta berada di hadapan pintu pagar rumahnya, lalu membunyikan hon kereta supaya kereta tersebut beredar.

“Tiba-tiba dua suspek keluar dari rumahnya membawa barang yang disamun dan mengacukan parang ke arah anak mangsa, dan terus melarikan diri menggunakan kereta yang sedia menunggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang berkata kedua-dua warga emas terbabit dan anaknya tidak mengalami kecederaan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengunci pintu rumah dan pagar walaupun berada di rumah.