BINTANGOR: Kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat terbukti melalui perubahan lanskap pembangunan di Sungai Sian termasuk kampung dan rumah panjang yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro.

Perubahan terlihat jelas melalui pelaksanaan pelbagai projek prasarana seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik sekaligus meningkatkan taraf hidup dan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, usaha itu membuktikan kerajaan Sarawak bersungguh-sungguh membela nasib rakyat terutama mereka yang tinggal di pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya, pelaksanaan projek pembangunan berjaya mengubah wajah Sungai Sian yang dahulunya kawasan terpencil dan hanya dapat dihubungi melalui sungai.

“Saya melihat landskap pembangunan di kawasan ini sudah banyak berubah. Beberapa kampung dan rumah panjang sudah memiliki jalan raya yang sempurna dan bersimen. Dalam sambutan Gawai sebelum ini, kenderaan terpaksa diparkirkan di tepi jalan besar namun hari ini, pemilknya tidak perlu lagi berjalan jauh dan boleh meletakkan kereta berhampiran rumah panjang masing-masing.

“Pada masa yang sama, pembinaan jambatan menyatukan kampung Muara Lebaan yang sebelum ini terpisah dua. Dengan adanya kemudahan itu, perhubungan penduduk menjadi semakin mudah. Saya gembira projek ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual,” katanya.

Kehadiran Safiee disambut meriah penduduk Muara Lebaan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya yang berpusat di Dewan Masyarakat Kampung Muara Lebaan dan Rumah Jackson Mos, Teluk Bulat Meradong, kelmarin.

Safiee berkata, selain jalan raya kerajaan juga mengambilkira keperluan penduduk terhadap bekalan elektrik apabila semua kampung sudah menikmati kemudahan tersebut.

Malah katanya, masalah saluran bekalan air bersih yang kerap dialami penduduk di kawasan itu juga di atasi secara berperingkat-peringkat.

“Pada April lepas, kita mengadakan majlis pecah tanah untuk pembinaan jambatan Sungai Pasi. Projek mega ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat termasuk penduduk di Muara Lebaan. Ia bukan sahaja menghubungkan Meradong dengan Sarikei tetapi juga Sibu, Tanjung Manis dan bahagian lain di Sarawak.

“Sudah pasti penduduk di kawasan ini akan berpeluang menikmati kemudahan itu apabila siap sepenuhnya kelak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sikap toleransi, budaya saling hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain adalah nilai murni yang perlu dipertahankan oleh semua pihak.

Katanya, perpaduan merupakan teras kepada keharmonian dan keamanan yang membolehkan rakyat dapat hidup dengan selesa tanpa sebarang ancaman.

“Perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat kita hari ini mesti dipertahankan agar tidak dicemari dengan sikap segelintir individu yang bersikap keterlaluan dalam menyebarkan fahaman politik dan agama.

“Kemajuan bukan hanya diukur menerusi kepesatan pembangunan insfrastruktur tetapi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Jika aspek ini tidak diberi perhatian, ia boleh menyebabkan kita mundur dan ketinggalan,” ujarnya.

Program turut diserikan dengan pelancaran GPS peringkat Ranting Muara Lebaan selain penyerahan bendera dan baju GPS PBB cawangan N.43 Daro.

Majlis pelancaran GPS peringkat ranting Muara Lebaan sejurus selesai program Ngiling Bidai yang berpusat di Rumah Jackson Mos, Teluk Bulat.