DEBAK: Ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya perlu menghargai tindakan serius Kerajaan Sarawak dalam membangunkan bidang pendidikan di negeri ini.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, pimpinan negeri menyedari aspek pendidikan merupakan elemen terpenting ke arah penerokaan kemajuan teknologi masa ini.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tahu, Sarawak tidak harus ketinggalan dari aspek pendidikan berbanding negeri lain.

“Begitu juga tidak harus ketinggalan dari segi penggunaan teknologi dalam bidang ekonomi serta pendidikan digital.

“Sebab itu, Kerajaan Sarawak mengambil berat keadaan pembangunan fizikal dan prasarana sekolah termasuk di luar bandar,” katanya.

SIMBOLIK … Razi serta tetamu lain memotong kek sebagai gimik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Debak di sini, semalam.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Debak yang berlangsung di Dewan Datuk Bandar Hamid, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak sebelum ini menawarkan RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan usaha-usaha merancakkan pembangunan yang dimaksudkan.

“Saya yakin, Kerajaan Sarawak serius membantu Kerajaan Pusat untuk memastikan bidang pendidikan di negeri ini terus diberi tumpuan termasuk membangunkan sekolah daif.

“Ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya perlu menghargai tindakan tersebut.

“Bukan itu sahaja, melalui peruntukan RTP setiap tahun banyak projek yang memanfaatkan sekolah-sekolah di seluruh negeri ini… lihat di sekeliling kita, RTP diguna menaik taraf sekolah dan semua itu hasil inisiatif Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Razi dalam pada itu menyarankan agar setiap pelajar memberi keutamaan dalam bidang akademik untuk mencapai keputusan cemerlang.

“Guna peluang yang ada untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan jangan ponteng kerana ia hanya merugikan diri sendiri,” jelasnya.

Beliau turut menyampaikan insentif kepada 18 pelajar cemerlang STPM dan SPM yang disumbangkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak.

Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (UPPK) PPD Betong Syahrum Jais, Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi, Pengetua SMK Saribas Merni Bujang dan Guru Besar SK Datuk Bandar Jelani Suhaili.

PEMANGKIN … Razi menyampaikan insentif salal seorang pelajar cemerlang pada majlis yang sama.