KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara tegasnya menolak budaya jijik dalam politik negara berikutan dengan tularnya video seks songsang yang dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian menambah buat masa ini pihaknya tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubung, Haziq Abdullah Abdul Aziz sehingga pihak polis selesai menjalankan siasatan.

“Kita tidak mahu menghukum sebab apa-apa tindakan yang kita buat boleh mengundang jawapan yang mempersulitkan kerja lembaga disiplin.

“Kita turut melahirkan simpati kepada Azmin dan keluarganya dalam menghadapai ujian ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Semarak Eidulfitri Sambutan Gawai Dayak Rumah Terbuka Majlis Pimpinan Negeri PKR di Kompleks Belia dan Sukan Kuching semalam.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa senarai pimpinan parti di dalam group Whatsapp digunakan dalam menyebarkan video lucah itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyatakan sejak dahulu segala maklumat ahli dapat diperoleh dengan memohon kepada ibu pejabat parti.

Katanya melalui keahlian lebih seramai 900,000 anggota kini segala maklumat ahli dapat diperoleh dengan memohon kepada ibu pejabat parti termasuklah segala data maklumat nama , cabang, pusat, negeri, nombor telefon dan alamat ahli.

“Sebelum pemilihan parti lepas , Biro Politik PKR telah membuat satu keputusan , iaitu mana mana pimpinan yang menawarkan diri sebagai calon boleh memiliki data-data berkenaan, ertinya sesiapa sahaja pada ketika itu yang mahu menawarkan diri dan perlu akses kepada anggota parti di seluruh negara, mereka boleh mendapatkan data-data itu dari ibu pejabat.

“Data itu boleh boleh dimiliki oleh pimpinan dengan mudah, sebab kita mahu memastikan calon bertanding dengan adil pada waktu itu, oleh itu biro politik parti membenarkan untuk data dimiliki dengan cara mereka menulis surat kepada ibu pejabat untuk mendapatkan maklumat itu,” katanya.

Dalam perkara berkenaan beliau menafikan tanggapan yang melihat maklumat itu dibocorkan oleh ibu pejabat PRK bagi tujuan menyebarkan klip video seks berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar menambah ribuan orang mempunyai akses kepada data keahlian dan telefon sejak 2018, sekiranya ada kecurigaan pihaknya harus menunggu keputusan polis, jelasnya.

“Kita buat keputusan untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan sepenuhnya,” katanya.