KABONG: Kerajaan sedang berusaha membangunkan produk hiliran serta tambah nilai berasaskan kelapa di Kampung Batang Maro, Semarang dan Spinang setelah melihat potensi kawasan tersebut.

Adun Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, tanaman kelapa menjadi projek ekonomi utama bagi ketiga-ketiga kampung tersebut.

“Saya harap masyarakat di sini khususnya boleh bersama membekalkan kelapa supaya dapat diproses menjadi produk tambah nilai secara besar-besaran.

“Sebab itu, tahun ini Kerajaan Sarawak akan membina pusat pemprosesan produk berasakan kelapa bernilai RM200,000 di Kampung Batang Maro.

“Satu lagi pusat pengumpulan dan pemprosesan barang terbuang dari kelapa seperti sabut, kulit dan sebagainya. Andai siap kelak, kita boleh mulakan,” katanya.

PRIHATIN … Razaili menyampaikan sumbangan duit raya selepas menyerahkan kerusi roda kepada salah seorang anak OKU pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Batang Maro yang berlangsung di Dewan Sebaro, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Batang Maro yang berlangsung di Dewan Sebaro, semalam.

Jelasnya, antara fokus utama ialah untuk mengeluarkan minyak kelapa dara (VCO).

“Seperti sedia maklum, VCO mempunyai permintaan yang tinggi… termasuk produk-produk lain.

“Pertama, kegunaannya dari segi nilai kesihatan dan bahan utama untuk produk kosmetik,” ujarnya.

“Dengan semua perancangan kerajaan tersebut, Kampung Batang Maro mampu berkembang seterusnya berjaya menambah baik taraf hidup penduduk secara keseluruhan,” tambahnya.

Beliau beberapa bulan lalu bersama rombongan wakil dari tiga kampung mengadakan lawatan ke Thailand (Koh Samui) untuk mendalami pembuatan produk-produk berasaskan kelapa.

Razaili dalam pada itu memaklumkan pembinaan ban di Kampung Beting Maro menggunakan kos RM300,000.

Menyentuh keadaan masjid, beliau memohon JKKK kampung mengenal pasti tapak untuk cadangan masjid baharu yang sudah dimajukan kepada kerajaan.

GIMIK … Razaili dan isteri mengagihkan makanan kepada penduduk kampung.

 

HIBURAN … Persembahan pentas hiburan yang memeriahkan majlis.