KUCHING: Orang ramai menyambut baik perubahan wajah baharu akhbar tertua di Sarawak, New Sarawak Tribune dalam bentuk tabloid.

Menurut Azman Salleh, 44, dari Samarahan dan seorang usahawan berkata, perubahan tersebut menyenangkan pembaca membawa surat khabar.

“Perubahan ini seiring peredaran zaman apabila pembaca lebih memilih surat khabar yang senang dibawa dan memapar bahan menarik,” katanya semasa ditemui Suara Sarawak.

Tambah Azman, isu semasa di negeri ini harus dititikberatkan pengamal media supaya masyarakat Sarawak menyedari isu di sekeliling mereka.

Manakala Angie Lee, 51, berasal dari Kuching mengucapkan tahniah kepada Sarawak Tribune kerana telah membuat perubahan.

“Walaupun akhbar berkenaan sudah berubah wajah, saya berharap banyak isu semasa, banyak kisah masyarakat diketengahkan.

“Saya mencadangkan supaya akhbar tersebut diberi secara percuma ke semua hotel di negeri ini bagi tujuan promosi,” katanya.

Mohamad Noh Mostapa, 38 berasal dari Kuching berkata, perubahan saiz kepada tabloid tidak penting tetapi isi kandungan berita perlu diutamakan.

“Isi berita yang menarik perhatian umum dapat membantu meningkatkan jualan surat khabar.

“Walaupun surat khabar berkenaan tertua di Sarawak namun harus berdaya saing dengan akhbar lain bagi memastikan mampu

bertahan di pasaran,” jelasnya. Fabian Peter, 33 turut berasal dari Kuching berkata, perubahan kepada bentuk tabloid adalah lebih senang dibawa dan senang

di selak setiap helaian.

“Perubahan kepada bentuk tabloid adalah menjimatkan ruang dan penggunaan kertas yang berlebihan.

“Tambahan pula, akhbar berbentuk tabloid sudah pasti isi kandungan yang ringkas, padat dan menyenangkan,”katanya.

Tambah Fabian, bentuk tabloid adalah sesuai dengan dunia teknologi dan digital serta masyarakat hari lebih gemar dengan sesuatu yang memudahkan.

Semalam New Sarawak Tribune melakar sejarah dengan kemunculan sulung bentuk tabloid bagi memenuhi kehendak pembaca.

Semua akhbar berbahasa Inggeris dan Melayu di Semenanjung Malaysia sekarang ini diterbitkan dalam bentuk tabloid.