Majlis Ramah-Tamah Silaturahim Aidilfitri Pertubuhan Kesedaran Intelektual Sarawak (Pakis) diadakan dengan meriah di Kompleks Kebajikan Laila Taib pada 15 Jun lalu.

Menurut Pengerusi Pakis Abang Ismawi Abang Muhi, majlis ini diadakan secara santai.

“Proses pendaftaran pertubuhan ini berada pada peringkat akhir dan kita akan mendapat sijil pendaftaran untuk bergerak secara sah sedikit masa lagi,” kata Abang Ismawi.

Menurut Abang Ismawi, Pakis sudah boleh bergerak secara sah selagi patuh kepada peruntukan dalam perlembagaan.

“Setakat ini Pakis mempunyai keahlian seramai 22 orang dengan latar belakang berbeza untuk membangunkan persatuan,” ujar Abang Ismawi.

Beliau berkata di dalam Pakis tiada protokol diperlukan kerana semuanya setaraf.

“Pakis mempunyai tiga sasaran utama iaitu aspek pendidikan, kebajikan dan ekonomi masyarakat kita,” ujar Abang Ismawi.

Nasihat Abang Ismawi supaya generasi muda memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Kita ingin meluaskan lagi program motivasi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat pada masa akan datang,” ujar Abang Ismawi.

Beliau juga mengatakan pendidikan menjadi asas dan dasar kepada semua perkara dan ingin melihat anak bangsa menyumbang kepada kesejahteraan negara.

“Ambil peluang yang ada, fokus kepada matlamat dan cari ilmu sampai tahap tertinggi,” kata Abang Ismawi.

Jelasnya, Pakis bukanlah sebuah pertubuhan politik dan tidak mahu menjadi tempat untuk menyebar dakyah politik.

Abang Ismawi berharap dengan kerjasama daripada 22 orang ahli pertubuhan ini dapat meneruskan kerja sukarelawan untuk berjumpa dengan masyarakat.

Tambah Abang Ismawi, Pakis menjemput sesiapa sahaja untuk memberi sumbangan dan berkongsi pengalaman mereka dalam membina kejayaan dan perubahan hidup.

“Kita juga akan bergabung dengan beberapa pertubuhan lain selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan pertubuhan,” jelas Abang Ismawi.