PUTUSSIBAU (Kalimantan Barat): Indonesia memuji Inisiatif Iklim Antarabangsa (IKI) WWF Malaysia dengan menanam teh gaharu secara ladang di Lubok Antu.

Ketua Bidang Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah Kabupaten Kapuas Hulu, Budi Prasetiyo berkata, inisiatif penanaman teh gaharu dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan.

“Hasil lawatan balas kita ke Malaysia, kita amat berminat dengan penanaman teh gaharu secara ladang di Lubok Antu.

“Jadi kita boleh lakukan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan bersama rombongan WWF Malaysia dan lima pengamal media berpangkalan di Sarawak di daerah Putussibau di sini, hari ini.

RAKAM KENANGAN … Kelihatan Budi Prasetiyo (tiga dari kanan) dan Ketua Agensi Perancangan Pembangunan Wilayah, Abang M. Nasir (tiga dari kiri) merakam kenangan bersama rombongan WWF Malaysia dan Indonesia serta pengamal media dua negara di daerah Putussibau di Kalimantan Barat hari ini.

Bagaimanapun, Budi turut memuji usaha WWF Indonesia yang menjalankan projek IKI di Kampung Mentawit dan Kelakar di Hulu Gurung dalam penanaman getah.

“Di bawah projek IKI, penanaman getah dilakukan menggunakan sistem kawalan dalaman (ICS) bagi menjaga kualiti pengeluaran susu getah.

“Ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan penduduk setempat malah mampu membantu kita dalam memulihara alam sekitar,” jelasnya.

Katanya, hasil kajian yang komprehensif bersama WWF Indonesia, kedua-dua kampung itu dipilih untuk menjadi projek perintis.

“Kerjasama dengan WWF Indonesia kita lakukan tiga tahun lalu untuk pelaksanaan projek IKI ini.

“Sebanyak tujuh desa berpotensi dibangunkan dalam bidang pertanian di wilayah ini,” ujarnya.

Rombongan WWF Malaysia dan pengamal media di Sarawak

Projek IKI bertujuan membangunkan konsep pengurusan ekonomi hijau yang mempromosikan penggunaan dan pengeluaran hasil sumber alam semula jadi.

Berkeluasan dua juta hektar, projek IKI merangkumi bahagian utara Kalimantan Barat sehingga ke bahagian tengah Sarawak.

Ia juga dikenal pasti sebagai projek Koridor Antara Sempadan Jantung Borneo (HoB).