KUCHING: Dua das tembakan amaran dilepaskan anggota polis namun tetap gagal menghentikan seorang pencuri yang nekad melarikan diri sebelum terjun ke dalam sungai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata kejadian berlaku semalam semasa sepasukan anggota JSJ Sarawak menjalankan pemantauan di Jalan Rock sekitar jam 9.30 malam selepas membuat risikan maklumat di sekitar kawasan Tapah, Beratok dan Siburan bagi mengesan suspek yang disyaki terlibat dengan kes pecah rumah dan curi kenderaan.

“Semasa pemantauan, pasukan kami terserempak dengan suspek yang dilihat sedang cuba mencuri kereta jenis Toyota Land Cruiser yang diparkir di depan Siang-Siang Corner.

“Pasukan JSJ seterusnya cuba menahan suspek tetapi dia telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

“Salah seorang anggota polis telah melepaskan dua das tembakan amaran namun suspek nekad melarikan diri menyeberangi jalan ke arah Pusat Perubatan Pakar Timberland sebelum terjun ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kereta Wira dan pelbagai barang yang dirampas dipercayai digunakan kedua-dua suspek untuk pecah rumah dan curi kenderaan

Dennis menambah seorang rakan suspek juga dilihat keluar daripada sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di tepi jalan hadapan perhentian bas di Jalan Rock, dan turut melarikan diri.

“Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kereta terbabit mendapati ia dilaporkan hilang di Batu Kawa pada 8 Jun lalu.

Katanya pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu juga menjumpai pelbagai barang yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah dan curi kenderaan seperti beberapa batang besi, tiga bilah parang, sembilan unit pelbagai kuci kereta, dua pasang sarung tangan, enam helai sarung muka, playar, tiga kikir dan tujuh anak kunci baru.

Dennis berkata kereta berkenaan turut dirampas termasuk tiga unit telefon bimbit yang ditinggalkan di dalamnya.