SARIKEI:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memberi jaminan setiap pemasalahan rakyat dikawasannya akan diambil perhatian sewajarnya.

Menurutnya pendekatan itu sejajar dengan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan keperluan rakyat Sarawak termasuk mereka di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Katanya, keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat adalah sangat besar dengan mengambil kira kepentingan dan manfaatnya untuk semua pihak.

“Pelaksanaan projek berimpak tinggi di Sarawak termasuk Sarikei merupakan bukti jelas keprihatinan kerajaan Sarawak bagi memastikan kehidupan rakyat sentiasa terjamin.

“Kita cukup bertuah kerana Sarawak mempunyai seorang Ketua Menteri yang sentiasa mengambil berat masalah rakyat. Malah, dana yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak banyak membantu rakyat dan pembangunan kawasan ini.

PIC : Dato’ Sri Huang menyempurnakan acara Ngiling Bidai bersama pemimpin masyarakat Iban di Dewan Serbaguna SDNU Sarikei, semalam.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar terus menyokong Abang Jo dan GPS demi menjaga kepentingan kita bersama seperti slogan Utamakan Sarawak GPS,” katanya pada majlis Ngiling Bidai Dewan Serbaguna Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) di sini, semalam.

Sehubungan itu, Huang berkata, berazam untuk terus memperjuangkan komuniti Dayak di kawasannya bagi memastikan mereka tertinggal dalam arus pembangunan.

Katanya, sokongan padu masyarakat Dayak terhadapnya menyuntik semangat beliau untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.

“Sudah pasti saya akan memberikan perhatian terhadap setiap masalah yang diluahkan oleh rakyat. Apa pun masalah mereka, kita akan tetap memberikan keutamaan walaupun ada sebahagiannya terpaksa diselesaikan secara berperingkat-peringkat.

“Saya sekali lagi ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak, khususnya Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan beberapa projek yang berimpak tinggi di bahagian Sarikei dan DUN Repok khususnya. Ia termasuklah, projek pembinaan jalan dari Sungai Pasi Sarikei ke Jalan Sibu-Tanjung Manis,” katanya.