SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menghulurkan tiga lagi katil boleh laras percuma untuk warga emas dan pesakit terlantar di kawasannya.

Mereka yang menerima sumbangan ialah Then Lung Lung, 68, di Jalan Kiong Soon, Lau Ing Kwong, 80, (Jalan Getah) dan Mras Nyarapong, 77, di Rumah Lanja Sungai Sentubu.

“Pemberian katil import percuma ini bertujuan meringankan beban pesakit terlantar sekaligus memudahkan urusan harian mereka. Sumbangan ini akan disalurkan berterusan bergantung kepada keperluan rakyat,” katanya.

Setakat ini, wakil rakyat berkenaan juga menyumbangkan sebanyak 18 katil percuma kepada pesakit terlantar sejak April lalu.

Menurutnya, penerima terdiri daripada pesakit yang terlantar dan tidak berupaya untuk bangun kerana masalah kesihatan dan akibat kemalangan.

“Pemberian berterusan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak menceriakan penerima sekaligus berupaya membuatkan mereka lupa seketika penyakit yang dihadapi,” tambahnya.

 

Then Lung Lung, 68, menerima katil percuma daripada ADUN Repok.

 

Lau Ing Kwong, 80, yang terlantar selama tiga tahun turut menerima sumbangan katil.

 

Mras Nyarapong di Rumah Lanja Sungai Sentubu juga mendapat perhatian.