KUCHING: Selepas 13 tahun sepi, kini ia kembali pada 15 September depan dengan penyertaan lebih 3,000 orang bagi memeriahkan Larian Saberkas 2019 pada 15 September depan di Bangunan Lama Dun Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kali terakhir larian itu diadakan pada 2006.

“Tema kali ini Today For Tomorrow – Sayang Sarawak selari dengan tema sambutan Hari Malaysia tahun ini sekali gus mempromosikan perpaduan dan keharmonian etnik negeri ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Program berkenaan anjuran bersama Saberkas Negeri, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Universiti UCSI Kampus Sarawak dan Sarawak Research Society (SRS).

Jelas Abdul Karim, tiga kategori akan dipertandingkan Unity Run sejauh tujuh kilometer dari lokasi pelepasan peserta hingga Bulatan Hamidah.

“Kategori kedua, Family Run sejauh tiga kilometer dari tapak pelepasan hingga bulatan Kecil Astana
Negeri.

“Manakala kategori ketiga iaitu VIP Walk akan berjalan sejauh satu kilometer mengelilingi bulatan berdepan Bangunan Dun lama,” katanya.

Kata Abdul Karim, bagi memudahkan penyertaan penganjur menghantar jemputan ke serial sekolah dan institusi pengajian tinggi berdekatan, syarikat swasta, jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan.

Setiap kategori mengenakan kadar bayaran berbeza iaitu kategori Unity Run dikenakan yuran RM50, Family Run RM30 bagi ibu dan bapa, manakala untuk anak berumur 12 tahun dan ke bawah dikenakan bayaran RM20.

Tiga pemenang pertama setiap kategori akan menerima pingat emas, perak dan gangsa serta baju dan sijil kemenangan.

Bagi setiap penyertaan, peserta akan mendapat baju Larian Saberkas 2019, barangan iringan seperti makanan dan minuman, baucar, hadiah tajaan serta pingat penamat larian.

Katanya, orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dari Facebook Saberkas Run 2019 atau mengunjungi pejabat Saberkas di Tingkat 20, Wisma Saberkas di Kuching. Tarikh tutup penghantaran borang adalah pada 15 Ogos 2019.