PUSA: SK Sebemban memerlukan tindakan segera, namun sehingga kini masih tiada apa-apa perkembangan… entah bila lagi?, demikian nada kesal Adun Saribas Mohammad Razi Sitam terhadap pembinaan sekolah uzur yang diancam hakisan yang masih tidak bermula.

Katanya, Kerajaan Pusat seharusnya tidak melewatkan pembinaan SK Sebemban yang diluluskan sebelum ini memandangkan keadaan fizikalnya berada dalam keadaan sangat uzur.

Malah menurutnya, sebelum ini Kerajaan Pusat pernah menyatakan sekolah tersebut dijangka dibina pada penghujung 2018, tetapi masih belum dilaksanakan.

“Permohonan bina baharu sekolah tersebut dikemukakan pada 2017 dan mendapat persetujuan KPM untuk diberi keutamaan pada awal 2018. Selepas itu, Kerajaan Sarawak meluluskan tapak baharu.

“SK Sebemban berhadapan dengan isu hakisan sungai yang semakin hari semakin kritikal.

“Sehingga, beberapa bangunan terpaksa diroboh dan dipindahkan atas sokongan saya sendiri demi keselamatan warga sekolah,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini projek gantian penuh SK Sebemban semasa menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Supa dekat sini, semalam.

SEMANGAT ORANG MUDA … Razi diajak bergambar oleh penduduk terdiri daripada orang muda Kampung Supa.

Menurutnya, beliau berusaha keras untuk mendapatkn tapak baharu bagi tujuan memindahkn sekolah tersebut sebelum diluluskn oleh Kerajaan Sarawak.

“Jadi, kini peranan Kerajaan Pusat melalui KPM melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

“Kerajaan Sarawak bersedia membantu mereka untuk membangunkan sekolah-sekolah daif di seluruh negeri ini.

“Tawaran RM1 bilion merupakan kerjasama yang sangat baik daripada Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan infrastruktur fizikal sekolah dapat dipertingkatkan.

“Ini menunjukkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga begitu prihatin dan serius membangunkan bidang pendidikan bersama pihak Pusat,” ujarnya.

Razi mengharapkan pembinaan sekolah tersebut dapat dipercepatkan demi kebaikan dan manfaat penduduk kampung berkenaan.

Beliau dalam pada itu kurang senang apabila isu tersebut diputar belit pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Isu ini tidak harus dipolitikan, dalam senario hari ini Kerajaan Sarawak sudah menyediakan tapak baharu yang lebih selamat dan KPM selaku pihak bertanggungjawab juga harus memberi komitmen untuk tidak melengah-lengahkan pembinaannya.

“Kita tidak mahu isu sekolah dan pendidikan dipermainkan. Penduduk Kampung Sebemban mengharapkan yang terbaik daripada kerajaan yang memerintah baik pusat mahupun negeri,” jelasnya.

YANG MUDA DISAYANGI … Anak-anak sekolah tidak melepaskan peluang untuk bersalam dengan Razi pada majlis tersebut.