SRI AMAN: Dua pemandu dan seorang kelindan berhadapan detik cemas apabila lori dan treler yang dinaiki mereka berlanggar antara satu sama lain dalam satu kemalangan jalan raya di KM42 Jalan Sri Aman-Kuching, tengah hari tadi.

Menurut Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, kemalangan melibatkan sebuah lori dan treler yang bergerak dari arah bertentangan.

“Dalam insiden kira-kira 12:30 tengah hari itu, sebuah lori jenis Hino bergerak dari Kuching menuju ke Sri Aman.

“Setibanya di lokasi kejadian, treler yang bergerak dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan sebelah sehingga mengakibatkan perlanggaran.

“Lori berkenaan terbalik ke bahu kiri jalan, sementara treler tersebut juga terbabas ke kiri jalan menghala ke Sri Aman.

“Hasil siasatan awal polis, pemandu treler didapati cuai ekoran gagal mengawal pemanduannya sehingga hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, pemandu lori Arvid Tampin Dowin, 30, dan kelindan lori Diyau Ponit, 52 mengalami kecederaan​ ringan dan dirawat di Hospital Sri Aman sebagai pesakit luar.

Manakala pemandu treler Adrian Cyril Rinep, 30, turut cedera namun belum dapat dipastikan ekoran masih menunggu laporan X-Ray.

Kes masih dalam siasatan polis.