Sembilan anak S’wak peroleh kelayakan warganegara

KUCHING: Seramai sembilan anak Sarawak yang pernah bergelar warga asing di tanah air sendiri menerima taraf kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15 (A) Perlembagaan Persekutuan semalam.

Surat kelulusan tersebut disampaikan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah di Wisma Wanita, di sini.

Menurut Fatimah, setakat ini sebanyak 723 permohonan telah dibentangkan untuk tindakan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15 (A) Perlembagaan Persekutuan.

“Sekali lagi diingatkan bahawa Jawatankuasa Khas dan Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak hanya menjadi pemudah cara untuk setiap permohonan yang diajukan.

“Setiap permohonan akan diajukan dan diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya pada majlis penyampaian surat kelulusan kewarganegaraan di Wisma Wanita di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap permohonan hendaklah lengkap untuk memudahkan proses permohonan.

“Banyak permohonan telah dibuat sebelum tertubuhnya jawatankuasa khas ini dan ia masih lagi dalam proses penilaian.

“Bagi yang gagal, anda dinasihatkan untuk memohon semula dan sekali lagi, ia akan melalui jawatankuasa khas ini,” jelasnya.

Menurut Fatimah, beliau bertekad untuk mengurangkan jumlah pemohon status kewarganegaraan ini.

“Jika boleh, kita inginkan pada suatu hari nanti, tiada lagi permohonan untuk kes-kes seperti ini.

“Apabila punca permohonan untuk taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15 (A) sudah diketahui, elakkanlah daripada keadaan tersebut agar tidak menimbulkan masalah kepada anak yang dilahirkan,” ujarnya lagi.

Setakat ini, sebanyak 127 permohonan telah menerima surat kelulusan manakala keputusan lain akan dimaklumkan oleh KDN melalui pos terus kepada pemohon.