KUCHING: Sepasang suami isteri, sepasang kekasih termasuk seorang penjawat awam adalah antara 15 individu yang ditahan dalam Operasi Sarang yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak pada Rabu lalu.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Latif berkata operasi bermula sekitar 10.30 pagi hingga 2 petang itu pada awal menahan seorang lelaki dan seorang wanita dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah rumah di Marop Atas, Engkelili.

Katanya hasil pemeriksaan menjumpai 11 bungkus dadah jenis syabu di dalam rumah terbabit dan 60 bungkus lagi ditemui disorokkan di kawasan semak berhampiran rumah pasangan suami isteri berusia 42 dan 39 tahun itu.

Sahar berkata pasukan serbuan kemudian menahan sebuah kenderaan yang dinaiki seorang duda bersama seorang wanita, yang kedua-duanya dari Kampung Mawang, Engkelili dan menjumpai satu bungkusan mengandungi dadah jenis syabu.

Katanya sepanjang tempoh serbuan tersebut turut menahan seramai 10 lelaki dan seorang wanita termasuk seorang penjawat awam kerana disyaki menagih dadah.

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Beliau berkata daripada 15 individu yang ditahan itu, 13 daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu manakala dua orang lagi negatif.

“Kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Sri Aman untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM8,000.

Justeru, katanya kesemua suspek kini dalam proses permohonan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga tidak kurang 10 sebatan.

 

Foto Utama: Lokasi-lokasi yang diserbu oleh pasukan JSJN Sarawak dalam Operasi Sarang pada Rabu lalu.