KUCHING: Seramai 90 orang penerima terdiri daripada 70 orang mahasiswa termasuk 20 orang staff Sarawak Energy Berhad (SEB) menerima Anugerah Biasiswa Sarawak Energy 2019 yang diadakan di Menara Sarawak Energy hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili, salah satu pelaburan terbaik untuk masa depan Sarawak kini ialah melalui pendidikan untuk generasi muda menerusi bantuan biasiswa dan sejak 2014 katanya sebanyak 573 biasiswa telah dianugerah kepada semua penerima yang layak.

“90 penerima kita hari ini merupakan antara 547 orang pemohon yang telah kita tapis dan antara yang terbaik dan paling menyerlah di antara semua meliputi dari aspek akademik dan kokurikulum termasuklah potensi kepimpinan mereka.

“Sejak 2014 sehingga hari ini kita telah menganugerahkan 573 individu dengan biasiswa ini dan usaha ini bagi memudahkan anak Sarawak yang berkelayakan meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Sarawak Energy 2019 di sini.

Jelasnya lagi ramai pihak pengurusan Sarawak Energy hari ini merupakan antara sarjana yang turut menerima biasiswa , salah seorangnya ialah Naib Presiden Kanan Sumber Manusia Sarawak Energy, Dr Mak Met penerima biasiswa pada tahun 1980-an.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Sharbini Suhaili menyampaikan biarsiswa kepada Mohd Nor Hakim,20, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Pengurusan Operasi Sarawak Energy, Yu Lew Hung pada majlis Anugerah Biasiswa di Kuching hari ini

“Sehingga tahun ini sebanyak RM8 juta telah diperuntukkan oleh Sarawak Energy untuk inisiatif biasiswa ini.

“Penerima biasiswa yang paling menyerlah dari segi keputusan akademik ini kita akan sediakan program yang terbaik di luar negara dalam membentuk generasi Sarawak Energy yang mempunyai kepimpinan yang tinggi,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, SEB kini katanya memperuntukkan RM100,000 bagi Sarawak Energy Talent Bird Scheme dan dalam masa akan datang memperkenalkan Bursary Programme sebagai salah satu inisiatif terbaru bekerjasama dengan sekolah bagi mengenalpasti pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

“Pada 2018 juga, kita telah melancarkan Campus Ambassador Programme dengan 13 buah universiti supaya pihak pengurusan kita dapat bekerjasama dengan universiti tempatan yang terpilih dan Rabu lalu kita telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Swinburne University of Technology Sarawak Campus.

“Manakala pada tahun ini kita memperuntukkan RM600,000 bagi insentif pendidikan untuk komuniti Bakun, Murum dan Batang Ai yang ditempatkan semula melalui Bakun Charitable Trust,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar semua penerima biasiswa terus cemerlang dalam bidang yang diceburi dan terus membanggakan kedua ibu bapa mereka.

Dalam majlis tersebut seramai 70 orang pelajar telah menerima biasiswa tersebut yang terdiri dari daerah Betong (2), Bntulu (3), Kapit (3), Kuching (40),Miri (6), Samarahan (3), Saratok (1), Sarikei (2), Serian (1), Sibu (8) dan Sri Aman (1).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Pengurusan SEB Lu Yew Hung, Naib Presiden Kanan Sumber Manusia SEB Dr Mak Met dan Naib Presiden Kanan untuk Kontrak dan Perolehan Sulaiman Abdul Hamid.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Sharbini Suhaili dan Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan Operasi Sarawak Energy, Yu Lew Hung (tengah) bergambar kenangan bersama 90 penerima pada majlis Anugerah Biasiswa di Kuching hari ini.