PUSA: Adun Beting Maro Razaili Gapor menyalurkan sebanyak 280 kotak air botol sebagai sumber minuman penduduk Kampung Spinang yang terputus bekalan air sejak 12 hari lalu.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui Pusat Khidmat Adun setelah menerima permohonan dari penduduk kampung.

Menerusi bantuan tersebut, setiap rumah diagihkan dengan dua kotak air botol.

Ketua Kampung Spinang Musa Zain memberitahu, Kampung Spinang terputus bekalan air sejak 12 hari lalu.

“Walaupun demikian, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sejak lima hari lalu ada menghantar air melalui lori tangki setiap hari.

“Walau bagaimanapun, air tersebut tidak dapat diminum.

“Justeru, permohonan dibuat kepada wakil rakyat untuk bantuan dan alhamdulillah, bantuan sampai hari ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Menurut Musa, Kampung Spinang mempunyai 140 rumah dengan penduduk seramai 857 orang.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Razaili untuk segera membantu penduduk Kampung Spinang yang dilanda krisis air.

BANTUAN … Proses mengagihkan sumbangan air botol kepada penduduk Kampung Spinang yang dilanda krisis air.

 

SYUKUR … Antara reaksi penduduk yang kelihatan gembira menerima sumbangan air botol untuk menampung keperluan harian.