KUCHING: Atas desakan hidup, seorang bapa dua anak tekad mencuri barangan dapur bernilai RM1,222.61 di pusat beli-belah Aeon di sini pada Isnin lalu.

Penolong Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, Oswald Onn Ada mengesahkan mengenai tangkapan itu berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengakui mencuri kerana desakan hidup.

“Malah dia ke sana dengan isteri dan dua anaknya tetapi isteri suspek tidak menyedari perbuatan suspek sehingga ditangkap pengawal keselamatan kompeks beli-belah berkenaan,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu, suspek berusia 35 tahun membawa barangan curi menggunakan troli melepasi kaunter pembayaran sebanyak dua kali sebelum menghantar ke parkir di tingkat tiga.

“Suspek cuba keluar dari dalam pasar raya dengan melimpasi kaunter pembayaran. Percubaan pertama membawa barangan melepasi kaunter hingga ke kereta berjaya.

“Namun percubaan kedua gagal setelah suspek berjaya ditangkap oleh pihak keselamatan pasar raya berkenaan selepas gagal menunjukkan resit pembayaran,” kata Oswald.

Kes akan didakwa di bawah  Seksyen 380 Kanan Keseksaan yang membawa hukuman penjara atau denda sebanyak RM2,600 atau dikenakan empat bulan penjara.