KOTA SAMARAHAN: Semua pelajar dan penyelidik perlu bijak menghasilkan penyelidikan berkualiti selain mempunyai keinginan mahu menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

Rektor Universiti Teknologi Malaysai (UiTM) Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, beliau berharap Sarawak dapat menghasilkan penyelidik cemerlang, disegani dan berupaya menyumbang kepada negara.

“Ekosistem hari ini telah berubah, kini semua pelajar termasuk pensyarah perlu melakukan penyelidikan. Tiada siapa yang berkecuali,” katanya pada berucap merasmikan Kolokium Penyelidikan UiTM (USRC) 2019 di Kampus 2 UiTM semalam.

Menurutnya, orang tempatan sering memandang rendah akan kebolehan penyelidik sendiri dan memandang tinggi kebolehan penyelidik luar negara.

“Perkara tersebut juga berlaku dalam dunia penerbitan penyelidikan di negara ini.

“Apabila melibatkan penerbitan penyelidikan, berdasarkan statistik, Malaysia berada pada tangga pertama,” katanya.

Jelas Jamil, beliau mahu pelajar menjadi sebahagian daripada statistik dan mengekalkannya untuk tahun akan datang.

Menurutnya, berdasarkan amanat Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim, beliau mahu pelajar universiti bekerjasama dengan individu luar negara dalam menjalankan penyelidikan sama ada pensyarah, penerbit, penyelia, dan sebagainya.

“Kita pastikan UiTM dan mana-mana institusi pengajian tinggi terlibat dapat memainkan peranan menggunakan data maklumat dan hasil penyelidikan untuk membantu negara.

“Misalnya Kampus Huawei di luar negara mampu menghasilkan Teknologi 5G.

“Ini menyebabkan persaingan kepada negara besar seperti Amerika. Kita lihat bagaimana penye- lidikan ini membantu mengukuhkan ekonomi negara dan banyak lagi aspek lain,” ujarnya

Sehubungan itu, beliau mahu pelajar memanfaatkan Dasar Digital Ekonomi yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri.

“Saya mahu pelajar memikirkan penyelidikan yang boleh menyumbang kepada pembanguan ekonomi digital Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau begitu kecewa apabila ada mendengar ramai pelajar tidak mahu memasuki UiTM kerana semua kursus ditawar menggunakan sepe- nuhnya bahasa Inggeris.

“Perkara tersebut amat menyedihkan, kerana sebab utama kita ke universiti ialah kita mahu belajar dan mahu menjadi pandai. Saya rasa tindakan lari dari masalah ini tidak tepat.

“Saya berharap ramai pelajar tidak perlu takut memasuki UiTM, kerana di sinilah platform utama kita

menjadi pemain dunia. Misalnya kita mempunyai bekas pelajar UiTM dalam Diploma Pengkhususan Halal yang di Beijing menjadi eksekutif bagi industri halal di sana,” katanya.

Katanya, pelajar harus menjadi seorang berketrampilan dan verstail selain mampu menguasai bahasa Inggeris.

Untuk kali ini sejumlah 103 penyelidikan berkaitan diserahkan kepada pelajar dalam kolokium bermula 19 sehingga 20 Jun di UiTM Kampus 2 Kota Samarahan.