KUCHING: Vandalisme dan kecurian komponen peralatan elektrik di negeri ini mencatat kerugian sebanyak RM5.43 juta sejak Januari 2017 sehingga Mei tahun ini.

Katanya, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, jumlah itu membabitkan 310 kes vandalisme dan kecurian komponen elektrik milik SEB.

“Pada 2017 sebanyak 135 kes yang mencatat kerugian RM3.3 juta dan pada tahun lalu, kita kerugian RM1.07 juta akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Abdul Rahman menjelaskan, antara peralatan yang menjadi sasaran ialah pendawaian utama, kabel lampu jalan, kabel bawah tanah, wayar menyambung seksyen ke kampung dan pencawang jana kuasa.

“Tindakan tidak bermoral itu menyebabkan SEB mengalami kerugian besar.

“Ini menjejaskan strategi dan perancangan bagi meningkatkan pemasangan lampu jalan untuk kemudahan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Raya Aidilfitri di pejabatnya di Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) di sini, semalam.

Abdul Rahman menggesa agar masyarakat punyai rasa tanggungjawab supaya menghargai apa sahaja bentuk kemajuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Jangan rosakkannya, hargai dan nikmati dengan cara baik.Tindakan merosakkkannya akan merugikan semua pihak terutama masyarakat yang sepatutnya mendapatkan bekalan eletrik.

‘’Saya menyarankan semua pihak memainkan peranan masing-masing terutama ketua kaum dan ketua kampung supaya ada rasa bertanggungawab menjaga harta benda kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan mempergiatkan pemasangan lampu jalan di luar bandar menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Baru-baru ini, Abdul Rahman mengumumkan semua lampu jalan dan penyelenggaraan dikendalikan SEB.