SARIKEI: Kehadiran lebih 80 orang tetamu memeriahkan sambutan Ramah Tamah Gawai Raya anjuran Pejabat Residen Sarikei di sini, hari ini.

Timbalan Residen Sarikei, Abang Porkan Budiman berkata, majlis bertujuan meraikan perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri di samping menjalinkan silaturahim di antara agensi kerajaan serta masyarakat setempat.

Malah katanya, ia menjadi platform terbaik untuk meningkatkan semangat kerjasama dalam kakitangan kakitangan.

“Hasil kesepakatan, kita berjaya menganjurkan program ini dengan lancar dalam suasana penuh muhibbah dan harmoni. Malah, sambutan yang diberikan cukup meriah,” katanya.

Majlis bertambahseri dengan kehadiran Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Dalam pada itu, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang ketika ditemui berkata, program tersebut merupakan peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

Selain itu katanya, ia juga mampu meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak yang pelbagai bangsa dan agama.

“Program ini perlu diteruskan kerana mampu mempupuk sefahaman terutama dalam kalangan pemimpin masyarakat dan kakitangan jabatan khususnya di agensi ini,” ujarnya,

Hadir sama Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, Pegawai Daerah Sarikei Christopher Ranggau Unting, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Wong Zee Yang, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi, Temenggung Junia Olia dan Penolong Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjung Manis, Zameer Zaqwan Rajeli.