KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 730 kes denggi disahkan berlaku di Sarawak dari awal Januari hingga minggu lepas dan ia menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim.

Katanya, Kuching mencatat kawasan wabak denggi tertinggi dengan 263 kes, diikuti Miri 98 kes manakala Betong 94 kes dan Sibu 73 kes.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perasmian Majlis Tilawah al-Quran, Pertandingan Nasyid dan Seminar Penerapan Nilai Murni dalam Perkhidmatan Awam (PIPA) di Dewan Suarah, Kota Samarahan.

Tambahnya, Ajibah Abol kini disahkan sebagai kawasan ‘hot spot’ setelah hampir sebulan masih gagal dikawal sepenuhnya.

“Dua minggu wabak terkawal gagal, dua minggu wabak tidak terkawal juga gagal dan kini Ajibah Abol telah masuk ke fasa ‘hot spot’,” katanya.

BUKTI… Jamilah Hashim menunjukkan graf statistik wabak denggi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Jelasnya, JKN berhubung DBKU dan Jabatan Kebajikan Kuching untuk menyelesaikan dan mengambil tindakan terhadap isu kawasan gelandangan di situ.

Tegasnya, masyarakat sepatutnya bekerjasama dan tidak mengharapkan inisiatif pihak berkuasa tempatan membendung masalah tersebut.

“Kita perlukan kerjasama semua orang termasuk tuan rumah, kedai, tanah untuk memastikan tiada kawasan berpotensi untuk nyamuk Aedes.

“JKN menjalankan aktiviti kawalan dengan cara membunuh nyamuk dewasa dan aktiviti pengasapan diteruskan serta membunuh lava nyamuk Aedes turut dilakukan,” katanya.

Jamilah menjelaskan, kawasan terbaharu wabak denggi di Semarak sebanyak tiga kes, satu di Samarindah Kota Samarahan namun semua kes tidak melibatkan kematian.

Terdahulu Jamilah turut menjelaskan, sebanyak 19 kes rabies berlaku di Sarawak yang mengakibatkan 18 kematian.

“Tiga dilaporkan pada tahun ini dan mangsa terakhir meninggal pada 13 Jun lalu. Kebanyakan kes rabies menyebabkan kematian kerana pesakit tidak mengambil langkah betul selepas terkena gigitan.

“Sekiranya digigit anjing atau haiwan berdarah panas (mamalia) segera cuci luka itu selama 15 minit di bawah air kerana tindakan ini dapat menyahaktifkan virus rabies,” katanya.

Jelasnya, mangsa gigitan juga disaran segera ke klinik atau hospital berdekatan bagi mendapatkan khidmat dan rawatan pakar.

“Tahap pengetahuan tinggi, namun tidak diterjemahkan pada sikap dan tindakan betul. Rabies dapat dicegah 100 peratus kerana masyarakat perlu membuat suntikan vaksin kepada haiwan peliharaan terutamanya anjing,” ujarnya.