Pada 4 Disember 2018, satu kejadian yang tidak mungkin dapat kita lupakan apabila berlaku letupas gas di pusat beli-belah CituOne Sarawak.

Kejadian tersebut sangat memberi kesan kepada mangsa terlibat hingga ke hari ini. Tiada siapa yang mahu hidup dalam keadaan trauma dan ketakutan.

Tiada tidur yang lena, tiada kekuatan berhadapan dengan masyarakat dan apakah nasib mereka selepas ini?

Adakah pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan isu ini? Adakah mangsa tersebut hanya berserah pada takdir dalam menjalani kehidupan mereka?

Kita tidak pernah menafikan kehendak takdir ketika berlaku bencana seperti ini, yang kita mahu nasib mangsa ini dibela dengan cara sepatutnya.

Mereka kehilangan pekerjaan malah ada yang masih menanggung kesakitan kesan daripada kejadian itu hingga ke hari ini.

Ya, mungkin ada pihak yang beranggapan insiden itu berlaku di luar jangkaan, tetapi, apakah tindakan yang diambil untuk membela nasib mangsa yang merupakan pekerja di situ?

Menurut mangsa Nur Hafirdawilla Mohd Sulaiman, dia merupakan salah seorang mangsa cedera teruk daripada 41 mangsa letupan gas di pusat beli-belah tersebut.

Katanya, ketika dibawa keluar pada hari kejadian seluruh badan termasuk muka, tangan dan kaki melecur.

Darah mengalir di seluruh badan dan rambut terbakar terpaksa digunting oleh pasukan paramedik.

Kita mungkin dapat menggambarkan hal yang berlaku ketika itu, tetapi tidak sekali dapat berkongsi rasa sakit yang dialami mereka.

Masyarakat mungkin tertanya-tanya bagaimanakah keadaan mangsa selepas berlaku insiden.

Nur Hafirdawilla mendakwa selepas menjadi mangsa letupan dia cuma menerima pati haruan dan kolagen sebanyak dua kali.

 

Tidak Dapat Pampasan

Dia menyatakan mangsa tidak diberikan pampasan dan ia amat mengecewakan kerana terpaksa menanggung perbelanjaan perubatan selain tidak lagi bekerja.

Apakah faktor yang menyebabkan mangsa ini tidak diberikan pampasan? Siapakah yang harus dipersalahkan?

Jelasnya, dia hanya dengan ayahnya menampung perubatan, manakala ibunya pula menjalani rawatan dialisis.

Masyarakat yang prihatin sudah pasti dapat membayangkan bagaimana kesukaran dan tekanan dihadapi mangsa ini.

Jika kita berada di tempat mereka, apakah tindakan yang perlu diambil dalam kes ini?

Dia kini mendapatkan nasihat undang-undang berkaitan pampasan selepas enam bulan kejadian itu dan menunggu pampasan untuk kecederaan serta trauma psikologi akibat letupan.

Lebih menyedihkan dia terpaksa melupakan rawatan susulan ekoran kekangan kewangan dan hanya menerima bantuan RM250

sebulan daripada Baitulmal. Hafirdawilla bersama-sama sembilan yang lain juga cedera teruk, masing-masing mencari peguam berlainan bagi proses tindakan undang-undang untuk mendapatkan pampasan.

Kejadian letupan gas pusat beli-belah CityOne mengorbankan tiga nyawa dan 41 cedera dalam kejadian 3.30 petang Selasa, 4 Disember 2018.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan letupan itu berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) jenis butane.

Sebagai masyarakat kita perlu mendoakan mereka supaya diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi menghadapi ujian ini.

Semoga kes ini dapat diselesaikan mengikut proses undang-undang yang betul dan telus.