KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang wanita warganegara Indonesia ditemui sudah mereput di dalam bilik sewanya di Bandar Riyal, di sini petang semalam.

Kematian mangsa yang dikenali sebagai II Gantika, 42, dari Cianjur, Bandung itu hanya disedari apabila pemilik bilik sewa mencarinya untuk menuntut bayaran sewa bagi bulan Mei.

Bagaimanapun apabila naik ke bilik sewa yang berkunci itu, pemilik berkenaan terhidu bau busuk dan bimbang akan sesuatu terjadi, dia membuat laporan polis.

Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata mangsa yang mempunyai suami lelaki tempatan tinggal berseorangan di dalam bilik sewa berkenaan.

“Sejurus masuk ke dalam bilik mendapati wanita itu dalam keadaan terbaring di atas lantai, terperosok di bawah penyidai tuala dalam keadaan berbogel.

“Mayat dalam keadaan proses mereput , berulat namun pemeriksaan badan tiada menjumpai kesan kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lee, mangsa pernah bekerja di sebuah kedai makan di Bandar Riyal namun sudah berhenti kerana masalah kesihatan.

Katanya pemeriksaan juga mendapati bilik berkenaan dalam keadaan berselerak dan kotor tetapi tiada senjata dijumpai di dalamnya.

Beliau menambah barang peribadi milik mangsa iaitu pasport, dua unit telefon bimbit, wang tunai RM1,272, barang kemas termasuk ubat juga masih ada.

Justeru, Lee berkata memandangkan tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian, kes disiasat dari sudut mati mengejut dan mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.