DEBAK: Dakwaan Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebenarnya mempunyai niat tersendiri seperti ada udang di sebalik batu.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, tuduhan bersifat provokasi politik itu dilihat hanya menjejaskan imej Kerajaan GPS.

“Beliau nampaknya mempunyai niat tersendiri dengan memburukkan imej dan kreadibiliti Kerajaan Sarawak dengan tuduhan berbelanja RM11 bilion setiap tahun untuk tiga tahun.

“PRN diadakan dalam tempoh lebih kurang satu ke dua tahun lagi, jadi PH mula mencanang kononnya Sarawak bakal bankrap seperti dilakukan sebelum PRU 14 dahulu… sehingga rakyat percaya,” katanya.

Beliau juga Ahli Majlis Tertinggi PBB bercakap demikian ketika ditanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Gawai Raya 2019 Peringkat Dun Saribas yang berlangsung di Riveria Sport Centre, hari ini.

Razi bagaimanapun yakin, rakyat Sarawak bukan mudah untuk percaya dengan momokan sedemikian selepas melihat keadaan ekonomi negara jatuh merudum, nilai ringgit jatuh dan hutang negara bertambah.

“Sebagai menteri kanan yang menjaga kewangan negara, beliau tidak seharusnya menggunakan taktik tersebut yang boleh dianggap sebagai strategi murahan untuk mencerminkan Sarawak.

“Kalau ekonomi Malaysia jatuh merudum ketika ini, beliau harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal menaikkan negara.

“Justeru, kita jangan mudah tertipu dengan taktik mainan persepsi pihak sebelah seumpama itu,” katanya.

Razi turut menyifatkan tuduhan tersebut bersifat terdesak dengan sengaja memberi gambaran buruk terhadap Kerajaan GPS.

Terdahulu Guan Eng pada satu jamuan malam ‘Sarawak Here We Come’ DAP Sarawak malam semalam mendakwa Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun akan datang jika terus di bawah kepimpinan GPS.