KUCHING: Kenyataan Lim Guan Eng tidak bertanggungjawab, berbaur politik dan tidak layak untuk dibicara oleh seorang menteri, kata Adun Tupong Fazzruddin Abdul Rahman.

Beliau yang kecewa dengan kenyataan Menteri Kewangan itu menganggap, Guan Eng langsung tidak menggambarkan sifat seorang pemimpin.

“Sepatutnya beliau harus peka dengan keadaan kewangan negara, tidak perlu bersusah-payah fikir belanjawan Sarawak,” katanya di sini semalam.

Tambah Fazzruddin, tindakan sengaja memburukkan kewangan Sarawak seolah-olah mahu memberi tekanan kepada ekonomi negeri ini.

“Bayangkan pandangan industri luar terhadap Sarawak dengan kenyataan itu?,” soalnya.

Beliau turut menyelar tindakan Guan Eng yang menyamakan Sarawak dengan Kelantan apabila terpaksa meminta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menampung gaji penjawat awam.

“Tidak sama sekali, kita takkan jadi seperti Kelantan kerana Ketua Menteri telah menjelaskan mengenai cara Sarawak menjana pendapatan.

“Salah satu cara ialah mengenakan cukai jualan terhadap industri minyak dan gas Sarawak,” tegasnya.

Katanya lagi setakat ini, Kerajaan Sarawak berbincang dengan Petronas tentang kaedah bayaran cukai tersebut.

“Ia adalah salah satu cara kita menjana pendapatan untuk memastikan ekonomi Sarawak tetap berkembang.

“Saya nasihatkan Guan Eng berhenti berpolitik dengan akal pendek dan fokus terhadap pembangunan negara termasuk menunaikan janji pilihan raya lepas,” ujarnya.

Tambahnya sebagai menteri, Guan Eng bertanggungjawab bukan sahaja kepada pimpinan DAP tetapi pentadbiran kewangan negara.