KUCHING: Kenyataan Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan bankrap adalah tidak bertanggungjawab, salah, mengelirukan dan boleh menakutkan penduduk termasuk pelabur.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim berkata Menteri Kewangan itu harus membetulkan kenyataannya dan memohon maaf kepada rakyat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan, kerana ia boleh menjatuhkan keyakinan pelabur asing dan tempatan sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

“Ini adalah dakwaan berat. Beliau harus dipecat kerana akan membawa bencana kepada kewangan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menambah kenyataan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu juga menghina usaha kerajaan Sarawak dalam membangunkan kawasan luar bandar.

“Beliau tidak mahu kawasan luar bandar Sarawak dibangunkan, kekal tidak maju dan miskin…inilah agenda DAP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Lim sebagai Menteri Kewangan yang gagal apabila ekonomi negara semakin teruk sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Tegasnya, Guan Eng sepatutnya sedar bahawa Sarawak merupakan sebuah negeri yang merekodkan pencapaian ekonomi terbaik di Malaysia, bahkan lebih baik dari Pulau Pinang dan ini dibuktikan dalam laporan Ketua Audit Negara.

“Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu cakap Malaysia hendak bankrap kerana Najib, sesudah menang ekonomi makin teruk.

“Sekarang Sarawak sudah mahu Pilihan Raya Negeri, beliau cakap Sarawak akan bankrap. Ini taktik yang sama.

“Beliau mahu ambil Sarawak dan gunakan untuk membangunkan Malaya sahaja terutama Pulau Pinang, Melaka dan Perak,” katanya.

Guan Eng pada makan malam mengutip derma DAP Sarawak semalam berkata negeri ini mungkin bankrap dalam tempoh tiga tahun di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa tiga tahun.

Untuk info, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan tahun lepas bahawa hasil negeri bagi 2019 dijangka mencecah RM10.51 bilion, yang merangkumi cukai jualan ke atas produk petroleum sebanyak RM3.84 bilion.

Katanya, Sarawak juga boleh menaikkan cukai jualan ke atas produk petroleum berdasarkan perlembagaan negeri.