SARIKEI: Sarawak kekal unik melalui konsep toleransi dan semangat perpaduan yang terjalin erat dalam kalangan masyarakatnya sejak dahulu lagi, kata Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Beliau berkata, keunikan itu terserlah ketika sambutan perayaan apabila diraikan dalam suasana penuh harmoni dan muhibbah meskipun berbeza budaya dan agama.

“Kita boleh merayakan perayaan bersama. Ini sudah menjadi kelaziman namun bagi pengunjung luar yang pertama kali datang ke sini, suasana ini adalah sesuatu yang unik dan amat luar biasa, ” katanya pada Majlis Sambutan Gawai Raya di Pejabat Daerah Sarikei, semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua lapisan masyarakat menggunakan sambutan Gawai Raya sebagai platform untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini menjadi faktor kekuatan kepada kestabilan politik dan pembangunan Sarawak.

Len Talif disambut mesra ketika hadir pada majlis ramah tamah Gawai Raya anjuran Pejabat Daerah Sarikei

“Kita tidak mempunyai sebarang isu berkaitan perpaduan kaum dan agama. Malah rakyat dapat hidup harmoni di bawah satu bumbung. Hubungan kerjasama dalam kalangan juga kita masih kekal utuh. Inilah sebabnya penting untuk kita mengekalkan perpaduan.

“Justeru sambutan perayaan memberi memberi peluang kepada kita lebih memahami adat resam dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang menegaskan, pemimpin masyarakat peringkat akar umbi berperanan penting membantu kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.

Katanya, pemimpin peringkat akar umbi adalah mata dan telinga yang harus berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dan kerajaan.

Pada masa yang sama katanya, mereka juga perlu lebih produktif dan agresif di samping berganding bahu mendekati rakyat.

Antara tetamu yang hadir

“Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Pejabat Daerah dan wakil rakyat.

“Malah, kerjasama dan persefahaman antara pemimpin dengan akar umbi memudahkan tugas wakil rakyat untuk menyelesaikan segala bentuk permasalahan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan perkembangan semasa, ketua masyarakat juga mesti peka terhadap sebarang bentuk isu bagi menangkis maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu katanya, KMKK perlu mendapatkan lebih banyak maklumat melalui pelbagai agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat betul khususnya yang berkaitan dengan pembangunan di kawasan masing- masing.

“Mereka juga perlu berpandangan jauh di samping memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha kerajaan, terutama daripada perspektif pembangunan jangka masa panjang,” katanya.

Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Wong Zee Yang dan Temenggong Junia Olia.