SARIKEI: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh menyifatkan kenyataan Sarawak bakal muflis dalam tempoh tiga tahun lagi sebagai tidak berasas.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai simpanan besar sekaligus membuktikannya bertanggungjawab dan sangat berhemah menguruskan kewangan dalam menampung pelbagai perbelanjaan khususnya untuk keperluan rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Katanya, setiap negeri mempunyai simpanannya sendiri apatah lagi kerajaan Sarawak yang sudah mentadbir negeri ini lebih 50 tahun.

“Seperti yang diketahui bajet tahun ini juga mempunyai lebihan. Malah, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri memberi jaminan lebihan bajet itu tidak akan menganggu simpanan sedia ada.

“Sebagai menteri kewangan, dia (Lim Guan Eng) tidak sepatutnya bercakap seperti seorang kanak-kanak tadika.

Saya menganggap ia satu kenyataan tidak berasas, berbaur politik dan sengaja mahu meraih sokongan.
“Saya percaya dan penuh yakin, rakyat Sarawak tidak mudah untuk percaya dengan tohmahan sedemikian,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Beliau berkata, kenyataan kenyataan berkenaan juga seolah-seolah ingin mengalih perhatian rakyat terhadap pelbagai isu dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Kerajaan Pusat perlu lebih komited dan serius membantu negeri ini menangani pelbagai isu rakyat termasuk sekolah daif di Sarawak yang kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman luar bandar.

“PH sepatutnya membantu Sarawak melaksanakan lebih banyak aktiviti pembangunan tetapi gagal berbuat demikian. Jangan menggunakan taktik murahan ini semata-mata mahu mendapatkan perhatian rakyat.

“Saya khuatir Kementerian Kewangan diterajui oleh seorang menteri yang tidak mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran dalam bidang ekonomi. Ini boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara sekiranya beliau terus memegang jawatan itu,” ujarnya.