DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng apabila mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak profesional dan bermotifkan politik.

Beliau berkata, Guan Eng hanya melihat bajet yang diperuntukan tanpa mengambil tahu jumlah pendapatan dan simpanan Sarawak yang dimanfaatkan untuk membangunkan negeri dan rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Malah katanya, kenyataan yang dikeluarkan itu seolah-olah mengambarkan ketidakupayaan fikiran Guan Eng yang kini memegang portfolio penting sebagai menteri kewangan negara.

“Di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita memiliki kewangan yang kukuh dan mampu melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat.

Kenyataan yang dikeluarkan itu membayangkan dia (Guan Eng) takut melihat kemajuan Sarawak dan negara secara keseluruhannya,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai 2019 di Kampung Penasu, semalam.

Safiee dan Ahmad Johnie menyempurnakan acara ngiling dalam program ramah tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai di Kampung Penasu, semalam.

Beliau berkata, menteri kewangan itu mengeluarkan kenyataan tanpa mengambil kira implikasinya terhadap imej dan reputasi negara semata-mata memenuhi agenda politik peribadi.

“Kenyataan tidak berasas seperti itu boleh mengundang ketakutan dan mengugat keyakinan pelabur asing terhadap negara,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Safiee berkata, perayaan hari Gawai dan Aidilfitri merupakan platform terbaik untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, sikap saling hormat-menghormati paling penting kerana mewujudkan suasana harmoni yang boleh membantu usaha kerajaan melaksanakan lebih banyak pembangunan untuk rakyat.

“Kemajuan dan kemakmuran membolehkan kita hidup berbaik-baik tanpa sebarang perbalahan kaum dan persengketaan atau pertumpahan darah. Kesepakatan inilah yang perlu dikekalkan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa terutama di luar bandar supaya tidak mengabaikan pendidikan anak-anak.

Tanpa pendidikan yang sempurna katanya, generasi muda itu sukar untuk menikmati kemajuan malah negara juga akan kerugian kerana ketandusan golongan yang berilmu.

“Hari ini, keadaan sudah berubah dan kemiskinan bukan lagi alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Kerajaan Sarawak pula amat menitik beratkan soal ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan demi memastikan generasi muda tidak tercicir dalam arus pembangunan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Ikhlas Kampung Penasu, RM5,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Penasu, RM5,000 ( PIBG Kampung Penasu), RM3,000 (JKKK Rumah Gitai) dan RM3,000 (JKKK Rumah Jolanas Lapok).

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi

Kehadiran kedua-dua pemimpin disambut meriah

 

Mengabadikan kenangan bersama penduduk kampung Penasu.