DEBAK: Kerja kuat pemimpin terdahulu khususnya di Bahagian Betong menjadi inspirasi wakil rakyat hari ini untuk terus membawa pembangunan demi kesinambungan terhadap apa yang telah dirancang.

Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat Vincent Entering walau bagaimanapun mengakui, tanpa sokongan padu semua khususnya seluruh warga Bahagian Betong mungkin ia tugas sukar.

Katanya, dengan adanya sokongan yang kuat diberikan kepada pemimpin terdahulu membolehkan mereka merancang dan melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan yang membawa kepada perubahan lanskap Bahagian Betong termasuk Saribas.

“Bermula dengan menaik taraf Betong daripada Daerah ke status Bahagian, kini segalanya berubah dan paling ketara ialah pembangunan bidang pendidikan… pelbagai jenis atau peringkat institusi ada.

“Ini membuktikan pemimpin kita amat mementingkan bidang pendidikan khususnya di kawasan luar bandar… kita seharusnya berterima kasih kepada mereka,” katanya.

PENGHARGAAN … Robert dan Razi masing-masing menerima cenderahati tanda terima kasih daripada pihak penganjur pada Majlis Sambutan Gawai Raya 2019 Peringkat Dun Saribas yang berlangsung di Riveria Sport Centre, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Gawai Raya 2019 Peringkat Dun Saribas yang berlangsung di Riveria Sport Centre, semalam yang turut dihadiri Adun Saribas Mohammad Razi Sitam.

Jelasnya yang kini menyambung amanah yang ditinggalkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Ahli Parlimen Betong dan Razi yang meneruskan perjuangan Datuk Dr. Wahbi Junaidi akan memastikan agenda pembangunan yang menyeluruh diutamakan.

“Kami akan meneruskan usaha demi kesinambungan pembangunan di Bahagian Betong termasuk kawasan Saribas ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kebijaksanaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meneroka sumber pendapatan baharu untuk Sarawak membolehkan Kerajaan Sarawak (GPS) meneruskan pelbagai projek pembangunan yang diperlukan demi kemudahan dan keselesaan rakyat.

Robert mengagumi penganjuran program sambutan Gawai Raya dengan konsep rumah terbuka seperti ini kerana ia berupaya menjadi platform mengeratkan silaturahim.

“Di Sarawak, sambutan Gawai Raya begitu sinonim dengan amalan kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi antara ahli keluarga, sanak-saudara, jiran tetangga, rakan taulan yang mana bertujuan mengeratkan hubungan sekaligus memperkukuhkan perpaduan.

“Kita bersyukur kerana keakraban ikatan masyarakat pelbagai kaum begitu kuat dan mampu menjamin kejayaan masa depan Sarawak yang lebih gemilang,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Betong Abang Mohamed Abang Turkey, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang, Pemangku KPD Betong ASP Noor Illham Hadeni, Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi, Penghulu Masyarakat Melayu Debak Abang Kifrawi Abang Rukaili dan Penghulu Masyarakat Iban Debak Kadam Ot serta kira-kira 2,000 penduduk sekitar.

 

NIKMATI … Robert mencuba kek lapis yang dihidangkan ketika dibawa melawat tapak-tapak hidangan makanan pada majlis tersebut. Turut kelihatan Razi. Foto. OSMAN RAZALI