BINTULU: Penganjuran program Ramah Tamah Aidilfitri dapat menjadi platform terbaik dalam mengerat serta menyuburkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Undang- Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie ak Tayai berkata ini boleh dilihat melalui budaya kunjung mengunjung yang biasanya dilakukan semasa rumah terbuka.

Tambah beliau lagi, senario seumpama ini jelas membuktikan betapa rakyat meraikan segala nikmat kehidupan bersosial masyarakat majmuk yang terdiri daripada penduduk berlainan budaya dan gaya hidup.

Justeru, katanya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab setiap individu wajib memainkan peranan dalam mempertahankan apa yang dimiliki.

Kita perlu sentiasa sedar bahawa nikmat perpaduan dan keamanan yang ada pada hari ini boleh lenyap mahupun diragut sekelip mata andai leka atau lalai, ujarnya ketika berucap pada majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Kampung Baru Tatau 2019 bertempat di Pusat Khidmat JKKK Kampung Baru Tatau, di sini, Ahad lalu.

John Sikie, yang juga ADUN Kakus turut menyarankan pihak berkenaan melibatkan penyertaan generasi muda dalam penganjuran aktiviti atau program seumpama itu agar mereka dapat belajar cara- cara mengurus serta menganjur sesuatu program di masa akan datang.

Pada majlis tersebut, beliau turut memberi jaminan akan berbincang dengan pihak Pejabat Daerah Tatau dan Lembaga Kemajuan Bintulu mengenai permohonan pembesaran jalan di Kampung Baru dan Kampung Dagang, Tatau selain meluluskan geran peruntukan sebanyak RM50,000,00 kepada JKKK Kampung Baru Tatau bagi kegunaan aktiviti tahunan dan pembelian khemah, kerusi dan meja.

Datin Melia anak Gelen, Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Tatau Calvin Ligong Anak Endawie @ Bujang, Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Tatau,Long Jok, pengerusi JKKK merangkap Ketua Kaum Kampung Baru Tatau Haji Ahmad Mohamad Mokhtar, pengerusi JKKK Kampung Dagang Tatau Satem Ghafar hadir sama.

PENGHARGAAN….Haji Ahmad menyampaikan cenderamata kepada Datuk John Sikie.