DARO: Kitar semula barangan terbuang seperti surat khabar lama, botol plastik, barangan elektrik dan perabot perlu diperluaskan dalam kehidupan harian masyarakat kerana mampu menambah pendapatan.

Malah, kreativiti seseorang mampu mengubah barangan yang dianggap sampah ini kepada menguntungkan dengan cara mengolahnya kepada sesuatu yang menarik dan mempunyai nilai tersendiri.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daro, mengadakan program Do It Yourself (DIY) dengan melibatkan penyertaan penduduk setempat di Tabika Kemas Kampung Badong di sini, baru-baru ini.

Pegawai Kemas Matu Daro, Mohd Asri Sulaiman berkata, program memberi peluang kepada suri rumah mencipta kreativiti dengan mengubah barangan terpakai dan terbuang menjadi sesuatu yang mampu menambah pendapatan.

“Program DIY pertama ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan apabila kita menerima penyertaan seramai 35 orang peserta. Kesemua peserta adalah suri rumah dari sekitar daerah ini,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Peserta mengabadikan kenangan beramai-ramai sejurus selesai program.

Beliau berkata, penganjuran program bertujuan mencetus daya kreativiti yang tinggi dalam kalangan peserta untuk mengguna pakai barangan terbuang seperti botol plastik dan kain terpakai.

Menurutnya, melalui aktiviti berkenaan, peserta mendapat bimbingan dan tunjuk ajar sehingga mampu mengubah barangan terpakai menjadi sesuatu produk yang menguntung dan menjimatkan.

“Antara barangan yang berjaya dihasilkan termasuklah bunga plastik, bunga telur dan pasu menggunakan kain terpakai. Kesemua rekaan itu diolah peserta menjadi perhiasan rumah yang cantik.

“Sambutan positif peserta terhadap program ini menyuntik semangat kita untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang namun mungkin dalam format yang berbeza,” katanya.

Hadir sama, Ketua Kampung Badong Haslimi Hassan dan guru pembimbing kursus, Azhar Amir dan kakitangan KEMAS Daro.

Peserta menunjukkan sebahagian barangan yang berjaya dihasikan oleh mereka.

 

Pasu bunga yang dihasilkan daripada kain terpakai.