KUCHING: Guru diingatkan mengembalikan semangat mencintai profesion perguruan dan yakin dengan kemampuan murid.

Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Sarawak Hossein Mahrip berkata, roh guru harus dikembalikan untuk warga pendidik mencintai profesion perguruan.

“Guru harus yakin bahawa semua murid mempunyai potensi untuk dikembangkan dan boleh dididik,” katanya merasmikan Majlis Apresiasi Guru Bergawai Raya di Auditorium Jabatan Pendidikan Sarawak di sini, baru-baru ini.

Menurutnya guru mesti mempersiapkan setiap murid supaya mampu menangani cabaran masa hadapan, menyelesaikan masalah, membuat keputusan wajar, menguasai dwibahasa, bersemangat patriotik serta mengamalkan nilai murni seperti dalam enam aspirasi murid PPPM 2013-2025.

Guru jelasnya, sangat diperlukan untuk melahirkan insan seimbang semua segi bagi menghadapi persaingan baharu terutama dalam era teknologi tinggi.

“Perubahan teknologi dan impaknya kepada masyarakat menuntut guru lebih berdaya maju dan mampu meramal masa depan murid dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang.

“Guru perlu bijak menyusun strategi membangunkan pelajar melalui kerjasama erat ibu bapa, komuniti dan sektor swasta,” jelasnya.

Hossein menjelaskan tanggungjawab mendidik bukan tugas guru semata-mata, sebaliknya tanggungjawab semua.

Dalam majlis itu, 87 sekolah rendah dan menengah Bahagian Kuching menerima anugerah pengiktirafan dan penghargaan atas sumbangan semua pihak khususnya guru.

Selain itu, sijil penghargaan turut diberikan kepada empat guru yang bersara tahun ini.

Turut hadir isteri mantan Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Norkiah dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Chen Fei Ming.