BEKAS pemain Malaysia, Joseph Kallang Tie muncul penyelamat Kuching FA setelah menjaringkan gol penyamaan 1-1 ketika menentang skuad handalan, DDM di Padang Akademi KLFA petang semalam.

DDM mendahului pada babak pertama melalui sepakan bebas Aidil Zainal dari luar petak penalti pada minit ke-35.

Namun, Kuching FA menyamakan kedudukan pada minit ke-63 apabila pemain gantian Joseph memanfaatkan hantaran lintang Dzulazlan Ibrahim.

Menurut jurulatih Kuching FA, Ideris Untong, penjaga gol DDM beraksi cemerlang apabila menggagalkan lima hingga enam peluang keemasan mereka.

“Kami menguasai pentas saingan, namun banyak peluang terlepas begitu sahaja.

“Sebaliknya DDM hanya mencipta satu peluang dan satu gol,” kata Ideris. Bagaimanapun, menurutnya, sekurang-kurangnya mereka membawa pulang satu mata berharga.

“Memang bukan rezeki kami untuk menang… namun saya amat berpuas hati dengan prestasi para pemain yang semakin meningkat dalam aspek persefahaman dan kecergasan,” ujar Ideris.

Walaupun seri Kuching FA kekal menerajui takhta Liga M3 dengan 23 mata hasil tujuh kemenangan dan dua seri.