LUBOK ANTU: Penantian penduduk Rumah Baying Kumpang Langgir di sini untuk menikmati bekalan air bersih berakhir apabila menerima bekalan air graviti bertapis.

Tuai Rumah Baying Kadam berkata, mereka lega kerana dapat menikmati bekalan air hasil pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar, sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi selama ini.

“Dengan adanya sumber air bersih ini, kehidupan kami akan lebih mudah dan selesa serta tidak perlu lagi bimbang terhadap keselamatan dan kesihatan,” katanya pada Majlis Perasmian Bekalan Air Graviti Rumah Baying Kumpang Langgir yang disempurnakan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang.

Baying berkata, sebelum ini, 140 penduduk rumah panjang berkenaan yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Pekan Engkelili menggunakan air sungai berdekatan untuk keperluan harian.

Mereka juga menggunakan sistem graviti untuk menyalurkan air dari tangki terus ke rumah tetapi tanpa sistem penapisan air.

Beliau menambah, keadaan lebih sukar apabila sungai yang menjadi sumber bekalan air berlumpur atau keruh terutama selepas hujan.

Keadaan lebih buruk pada musim kemarau apabila penduduk terpaksa mencari sumber air lain apabila kehabisan air dalam tangki dan sungai semakin cetek.

“Lebih menyedihkan ketika majlis perkahwinan, program kerajaan dan orang meninggal dunia. “Masalah bekalan air bersih ini boleh menyebabkan aktiviti terganggu dan tidak berjalan lancar serta memeritkan penduduk di rumah panjang sejak bertahun-tahun sebelum ini,” jelasnya.

Projek bekalan air graviti Rumah Baying Kumpang Langgir dengan kos RM98,000 dilaksanakan penduduk kampung secara bergotong-royong bersama-sama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Sementara itu, Jugah berkata, Lubok Antu masih belum menikmati kemudahan asas sepenuhnya seperti bekalan air bersih dan jalan raya.

Justeru, beliau menyeru Kerajaan Sarawak dan Persekutuan bersama-sama menyediakan kemudahan asas di kawasan itu.

“Kita berharap penduduk luar bandar mendapat kehidupan lebih baik dengan adanya kemudahan asas seperti bekalan air ini,” katanya.

Sempena majlis itu, Jugah mengumumkan membantu baik pulih atap Rumah Baying Kumpang Langgir yang dianggarkan menelan kos RM130,000.

Beliau turut menyumbangkan geran RM30,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) rumah panjang berkenaan.