SIBU: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamruddin memohon kerjasama Kerajaan Sarawak membangunkan negeri ini.

Katanya, Kerajaan Sarawak harus bersikap terbuka memudahkan lagi usaha Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri ini.

“Saya amat berharap, Kerajaan Sarawak dapat memberi kerjasama kerana pada masa ini kita sangat terbuka membuat program, menurunkan bajet dan sebagainya,” kata Zuraida.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah-Tamah Gawai Raya anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara di sebuah hotel terkemuka di sini, petang semalam.

Zuraida turut menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan Sarawak.

Malah katanya lagi, Sarawak mendapat peruntukan terbanyak sekali untuk Rancangan Malaysia Ke-11 dan Bajet 2019.

“Di peringkat kementerian, kita juga keluarkan bajet banyak untuk kerajaan tempatan.

“Jadi, kalau berterusan tidak mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, ia akan melemahkan pertadbiran,” ujarnya.

Mengenai perkara lain, Zuraida memberitahu bahawa KPKT telah mewujudkan satu Dasar Komuniti Negara untuk menyampaikan maklumat dan polisi Kementertian Perumahan kepada rakyat.

“Pada masa sama, mereka juga boleh membawa kementerian lain untuk turun padang ke akar umbi bagi tujuan sama,” katanya.