KUCHING: Harga simen di Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia kerana bahan mentah diimport dari Thailand, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor harga simen di Sarawak tinggi seperti bahan mentah klinker, batu kapur dan gypsom yang terpaksa dibeli dari Thailand.

“Kita mengimport gypsom dan harga bahan berkenaan dikawal oleh negara berkenaan,” kata kepada pemberita pada Program Malam Randau Bersama Pelajar Dayak, Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sarawak 2019 di Dewan Tan Sri Aziz Kampus Barat iCATS di sini, semalam.

Tambahnya, kos pengangkutan untuk membawa barang import ke Sarawak juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi harga simen.

“Di Semenanjung harga simen lebih murah berbanding Sarawak kerana mereka mempunyai banyak persaingan. Jarak antara Semenanjung dengan Thailand juga tidak jauh dan kos pengangkutan tidak tinggi berbanding Sarawak yang menelan kos pengangkutan tinggi,” katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak akan membuat perbincangan bersama pihak Cahaya

Mata Sarawak (CMS) dalam menyelesaikan isu tersebut. “Kenyataan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) berkaitan dengan harga simen adalah benar dan kita tidak menafikan perkara itu.

“Bagaimanapun, perbincangan akan dibuat supaya ia tidak membebankan rakyat di negeri ini,” jelasnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri.

Baru-baru ini, Menteri kewangan menyatakan bahawa harga simen di Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Beliau menyatakan, siasatan perlu dilakukan bagi memastian sama ada terdapat amalan monopoli tempatan di Sarawak menjadi punca harga tinggi.