KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan lima kawasan perumahan mampu milik di sini, khusus untuk menyediakan kemudahan perumahan kepada generasi baharu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia memandangkan anak-anak muda terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga dibelenggu masalah memiliki rumah.

Katanya faktor utama adalah disebabkan harga pasaran rumah yang terlalu tinggi dan naik sepanjang masa.

“Oleh sebab itu, kita akan membuka kawasan-kawasan baharu dan di sana kita membangunkan skim penempatan semula untuk rumah mampu milik.

“Ini adalah pendekatan kita untuk menyelesaikan masalah pemilikan rumah di kalangan generasi baharu,” katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching di sini, semalam.

Abang Johari bersama Awang Tengah, pemimpin GPS dan PBB sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Menurut Abang Johari, kawasan-kawasan yang akan dibangunkan dengan rumah mampu milik ialah di Bako-Buntal, Sungai Maong – Segedup, Gita Baru, Kampung Senari dan Lundu-Sematan.

Katanya arahan sudah diberikan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk menyukat kawasan-kawasan berkenaan.

Beliau berkata kawasan perumahan mampu milik itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air, sistem perparitan konkrit dan jalan raya berturap yang semua ditanggung kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Pembeli hanya perlu membayar kos pembinaan rumah sahaja, mungkin antara RM80,000 hingga RM100,000.

“Kita juga ada menyediakan bantuan pinjaman kepada pembeli menerusi Mutiara Mortgage and Finance yang dipunyai GPS,” katanya.

Selain harga rumah yang rendah, Abang Johari berkata kerajaan negeri turut menurunkan kadar premium lot tanah kepada RM2,500 sahaja.

Katanya tempoh pembayaran adalah 10 tahun, di mana pembeli hanya perlu membayar RM250 setahun ke atas lot tanah yang berkeluasan lebih kurang 12 point.