KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus mempertahankan semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak itu berkata, PBB bersama-sama parti komponen GPS yang lain tidak akan membiarkan PH menawan negeri ini supaya dapat terus memperjuangkan hak Sarawak.

“Kita tidak boleh sambil lewa dan kena kerja kuat untuk mempertahankan Sarawak kerana mereka (PH) di pihak kerajaan pusat. Jadi kita di PBB harus mempertahankan semua kerusi yang di bawah PBB.

“Bila PRN, saya tidak tahu tapi biarlah kita bersedia…kita tumpu usaha membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PBB Zon Kuching 2019 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah serta pemimpin-pemimpin PBB dan GPS yang lain.

Abang Johari yang juga Presiden PBB turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya tidak mudah terpedaya oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sentiasa bermain politik kotor.

Menurutnya seperti dakwaan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini, ia jelas merupakan permainan politik kotor bagi menakutkan rakyat Sarawak walhal ia boleh membawa bencana kepada ekonomi Sarawak.

Katanya tindakan Guan Eng itu kerana takut kepada GPS, yang telah membuktikan keupayaan dalam mentadbir ekonomi dan pembangunan Sarawak tanpa sokongan dan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan persekutuan PH.

“Apabila PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan, mereka fikir Sarawak akan teruk dan terpaksa meminta menggemis daripada Kerajaan Persekutuan.

“Tetapi kita…anak Sarawak bukan pengemis, kami tahu apa yang harus dibuat…kalau mereka beri kita ambil, kalau tidak beri seperti projek jambatan kita buat sendiri. Inilah kekuatan pemimpin PBB bersama rakan-rakan dalam GPS,” katanya.

“Anak Sarawak bukan pengemis, kami tahu apa yang harus dibuat…kalau mereka beri kita ambil, kalau tidak beri seperti projek jambatan kita buat sendiri. Inilah kekuatan pemimpin PBB bersama rakan-rakan dalam GPS.”
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg