BINTULU: Penganjuran program Ramah-Tamah Aidilfitri dapat menjadi platform terbaik dalam mengerat serta menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat berbilang kaum.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie ak Tayai berkata ini boleh dilihat melalui budaya kunjung mengunjung yang biasanya dilakukan ketika rumah terbuka.

Tambah beliau lagi, senario seumpama ini jelas membuktikan betapa rakyat meraikan segala nikmat kehidupan bersosial masyrakat majmuk yang terdiri daripada penduduk berlainan budaya dan gaya hidup.

Justeru katanya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab setiap individu wajib memainkan peranan dalam mempertahankan apa yang dimiliki.

“Kita perlu sentiasa sedar bahawa nikmat perpaduan dan keamanan yang ada pada hari ini boleh lenyap mahupun diragut sekelip mata andai leka atau lalai,” katanya pada pada majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Kampung Baru Tatau 2019 di Pusat Khidmat JKKK Kampung Baru Tatau.

John Sikie yang juga Adun Kakus turut menyarankan penyertaan generasi muda dalam penganjuran program seumpama itu agar dapat belajar cara mengurus serta menganjur sesuatu program pada masa akan datang.

Pada majlis tersebut, beliau turut memberi jaminan akan berbincang dengan pihak Pejabat Daerah Tatau dan Lembaga Kemajuan Bintulu mengenai permohonan pembesaran jalan di Kampung Baru dan Kampung Dagang, Tatau dan meluluskan geran peruntukan RM50,000,00 kepada JKKK Kampung Baru Tatau bagi kegunaan aktiviti tahunan dan pembelian khemah, kerusi dan meja.