KUCHING: Elaun sebanyak RM5,000 perkara positif yang akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti sasterawan negara di Malaysia.

“Saya secara dasarnya bersetuju dengan bayaran yang diberikan kepada Sasterawan Negara,” Begitulah pendapat diberikan oleh salah seorang pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Unimas, Dilah bin Tuah kepada Suara Sarawak semalam.

Beliau bersetuju sasterawan negara menerima elaun RM5,00 setiap bulan tetapi ia hendaklah setimpal dengan program-program sastera yang akan dijalankan bersama sasterawan negara.

“Hal ini kerana adalah suatu pembaziran sekiranya sasterawan negara hanya menerima elaun sahaja tetapi tidak ada program-program berkaitan perkembangan kesusasteraan dilakukan,” katanya.

Justeru, Dilah berharap akan penambahan program-program sasterawan di kawasan kampung, sekolah serta institut pengajian tinggi dapat dilakukan.

“Program seperti ini penting untuk membangunkan kesusasteraan nasional kerana setelah seorang individu mendapat anugerah sasterawan negara, program-program melibatkan pasca penganugerahan masih kurang dan terhad,” jelasnya semalam.

Baginya, bayaran sebanyak RM5,000 tidaklah terlalu mahal sekiranya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bijak dalam menguruskan program berkaitan dengan sasterawan negara.

Justeru, sekiranya DBP mampu memperbanyakkan program-program yang boleh dijalankan untuk sasterawan negara setimpal dengan elaun yang diterima mereka setiap bulan.

“Hal ini bermakna, selepas ini, pihak penganjur tidak perlu membuat bayaran secara individu kepada sasterawan negara kerana adanya elaun tersebut untuk menggerakkan aktiviti kesusasteraan mereka di dalam negara kita,” jelasnya.

Terdapat 7 orang Sasterawan Negara telah mendapat cek elaun dalam Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Putrajaya pada 24 Jun lalu.

7 orang sasterawan tersebut ialah Datuk Seri Dr A. Samad Said; Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal; dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Pemberian elaun yang bermula pada Jun ini telah diluluskan dan disempurnakan di Kementerian Kewangan sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan mereka terhadap aktiviti kesusasteraan negara.